ADA yang mengatakan pokok karas yang menghasilkan gaharu seperti pokok duit atau wang tumbuh di atas pohon itu.
Ramai juga yang tahu gaharu menjadi bahan utama dalam menghasilkan minyak wangi, selain komoditi penting kepada ekonomi serta mempunyai pelbagai kegunaannya.
Namun, bagaimana gaharu berkualiti dengan gred AAA diperoleh?
Gaharu, iaitu damar atau resin beraroma yang terhasil daripada pokok karas atau Aqualaria dari keluarga Thymelaeaceae, amat bernilai tinggi melebihi harga emas.
Harga gaharu liar boleh mencecah RM10,000 RM100,000 sekilogram (kg), manakala gaharu ladang gred AA dan AAA (RM3,000 – RM4,000 kg); gred A RM2,000 (RM3,000 kg), manakala gred B dan C (RM1,000 – RM2,000 kg).
Proses gaharu terbentuk berikutan tindak balas pokok karas ke atas serangan fungus atau bakteria terhadap luka, retakan atau jangkitan penyakit.

Pokok yang diserang itu kemudian merembeskan resin bagi melindungi bahagian cedera sama ada pada akar, batang atau dahan, lama-kelamaan menjadi keras seperti kayu yang dinamakan gaharu atau dikenali sebagai Agarwood, Aloeswood atau Eagleswood.
Kini, pokok karas menjadi antara spesies di bawah Convention on International Trade in Endangered Species (CITES), Appendix II iaitu spesies yang terancam.
Menyedari gaharu bernilai tahap ‘kayangan’ dan berpotensi, sejak beberapa tahun lalu, semakin ramai pengusaha menanam pokok karas di ladang.
Bagi Penasihat BARA.OUD dan Terawis Lestari Trading, Megat Md Yusop Megat Abu Bakar bersama keluarga sudah mengusahakan ladang gaharu sejak 2009 di bawah BARA.OUD di Kuala Kangsar, Perak.
“Pada mulanya kami adik beradik tidak terlintas untuk menanam pokok karas, namun seorang pekerja yang meratakan tanah ketika itu memberi cadangan supaya menanam pokok karas.
“Saya tidak tahu berkenaan pokok itu dan membuat pelbagai carian di dalam buku dan ke Jabatan Perhutanan untuk mendapatkan maklumat.

“Ketika itu, Thailand sudah lebih 10 tahun menanam pokok karas di ladang dan di Malaysia ia masih baharu,” katanya yang kini gemar membuat pelbagai perkongsian berkenaan pokok karas dan gaharu di laman sosial Facebook miliknya PM Gaharu.
Katanya, pada mulanya tanah seluas 32 hektar ditanam dengan 5,000 batang pokok karas, namun kini sudah mempunyai 12,000 pokok daripada empat jenis spesies yang kini bernilai RM2.4 juta.
Pokok karas disuntik inokulum
Beliau berkata, selepas pokok berusia lima sehingga enam tahun, beliau mula belajar menyediakan inokulum iaitu sejenis cecair formula untuk disuntik atau diinokulasi pada pokok bagi menghasilkan gaharu.
Berbeza dengan pokok karas liar di dalam hutan, ia mampu menghasilkan sendiri gaharu kesan daripada pelbagai faktor termasuk akibat disambar kilat atau pokok sakit.
“Bagaimanapun, pokok karas ditanam di ladang perlu disuntik inokolum yang saya hasilkan sendiri, bagi menghasilkan gaharu.

“Cecair ini hanya boleh disuntik apabila pokok sudah mula matang iaitu selepas enam sehingga tujuh tahun.
“Ia perlu disuntik oleh pakar sahaja, justeru penting untuk memilih pakar yang terbaik bagi memastikan pokok mampu menghasilkan gaharu berkualiti,” katanya.
Jika terlebih dos suntikan, pokok boleh rosak seterusnya mati, manakala jika terkurang dos pula boleh menyebabkan pokok menjadi kering.
Selepas disuntik, perlu menunggu selama setahun sehingga tiga tahun lagi supaya gaharu dihasilkan berkualiti.
Katanya, kualiti atau gred gaharu ladang bergantung kepada tempoh berapa lama gaharu dihasilkan di pokok.
“Semakin lama gaharu berada di pokok, semakin tinggi nilainya. Untuk mendapatkan gaharu gred AAA, perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga tahun selepas disuntik.
“Untuk dapatkan gaharu ladang dengan gred terbaik ambil masa kira-kira 10 tahun,” katanya.
Tuaian gaharu
Sebatang pokok, katanya mampu menghasilkan antara satu sehingga dua kilogram gaharu bergantung kepada keadaan dan saiz pokok.
Proses menuai dilakukan dengan memotong pokok dengan meninggalkan batang pokok sekurang-kurangnya satu kaki supaya ia dapat tumbuh semula.
“Proses dikenali sebagai ‘coppice’ membolehkan pokok tumbuh semula mampu menghasilkan lagi gaharu dalam tempoh lebih singkat kerana akarnya semakin berusia dan kuat,” katanya.
Kayu karas pelbagai guna
Pokok ditebang kemudian dipotong kepada saiz lapan sehingga 12 inci untuk mengasingkan gaharu dengan kayu putih.

Selepas dipotong saiz kecil, kemudian diracik atau diraut untuk mengeluarkan gaharu.
“Selepas menjadi kepingan kecil, ia akan dicuci pada bahagian depan dan belakang, kemudian kepingan itu digelar gaharu.
“Kayu putih diracik pula boleh menghasilkan pati minyak gaharu digunakan untuk membuat minyak wangi.
“Baki kayu yang dipotong masih mempunyai bahagian cantik akan dibuat arca gaharu seperti tanduk rusa.
“Arca terutama bahagian ranting, mempunyai gaharu berkualiti tinggi. Justeru, ia sentiasa mendapat permintaan kerana ada nilai estetik dan dijual hingga RM3,000,” katanya.
Karas hasilkan air suling
Beliau juga berjaya menghasilkan teh daripada daun pokok dikeringkan dan setahun kemudian kopi pracampuran gaharu menggunakan ekstrak daripada daun.
“Kedua-dua produk ini berada di pasaran sehingga 2015 sebelum dihentikan kerana mahu menumpukan kepada proses inokulasi pokok.
“Selepas ini saya akan memperkenalkan produk baharu, iaitu teh tarik gaharu,” katanya.
Selain pelbagai kegunaan itu ia juga boleh menghasilkan air suling gaharu manakala hampas pokok dibuat ubat nyamuk dan colok.
Katanya, dengan kepelbagaiannya ramai pengusaha berminat menanamnya.
“Kepingan gaharu dan pati minyak dieksport ke Arab manakala arca banyak permintaan dari China, selain ke Kuwait, Dubai, Australia dan Amerika Syarikat,” katanya sudah melabur RM1.2 juta dalam perusahaan itu.
Selepas lebih 12 tahun dengan perusahaan itu, beliau juga menjual anak pokok kepada pengusaha baru.
Setiap tahun ladangnya menjadi rujukan pelajar Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) mempelajari berkenaan gaharu.
“Saya yakin industri ini mampu melonjak lebih jauh kerana kini lebih dua juta pokok karas ditanam di seluruh negara oleh pengusaha berdaftar,” katanya.
Info
* Sebanyak 25 spesies karas di seluruh negara
* Di Malaysia, Bangladesh, Bhutan, India, Myanmar, Filipina dan Thailand.
* 5 lima spesies karas iaitu Aquilaria malaccensis, Aquilaria hirta, Aquilaria beccariana, Aquilaria rostrata dan Aquilaria microcarpa.


